Monday, September 12, 2011

Kisah dan Teladan


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."
Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"
Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.
Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."
Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.
" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.
" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Pulak dah

Malas Ke Sekolah

Jam sudah pun menunjukkan pukul tujuh pagi. Salim masih lagi berdengkur. Ibunya pun segera mengejutkannya untuk ke sekolah.

Ibu: Salim…Salim…bangun nak, pergi sekolah, nanti kamu terlambat.

Salim: Alah mak… Salim tidak mahu pergi ke sekolah!

Ibu: Apa? Tidak mahu pergi sekolah?! Baik… Salim berikan emak dua sebab mengapa Salim tidak mahu ke sekolah.

Salim: Semua murid-murid tak suka Salim. Guru-guru di sekolah pun tak suka pada Salim!

Ibu: Itu bukan alasan bagi Salim untuk tidak ke sekolah. Cepat, bangun sekarang!”

Salim: Baiklah, sekarang emak pula berikan Salim dua sebab mengapa Salim mesti pergi ke sekolah.

Ibu: Eh…eh…bertuah punya anak! Salim dengar baik-baik…. Pertama: Salim sudah berusia lima puluh tahun….. Kedua: Salim kan PENGETUA SEKOLAH….!!!”

Thursday, September 8, 2011

Proses Tarbiah daripada Madrasah Ramadan


ALHAMDULILLAH, dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru; pakaian baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu.
Semoga puasa, sedekah, solat sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.
Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini, kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.


Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim.
Pergi masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi. Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.
Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan.
Pakej ini menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa. (Hadis riwayat Imam Muslim).
Hadis berkenaan menjelaskan kepada kita bahawa berpuasa pada bulan Ramadan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada bulan Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.
Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardu.
Menurut hukum fiqah, kita boleh memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli.
Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat.
Rasulullah s.a.w mensyaratkan `berpuasa Ramadan’ terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari pada Syawal. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah sunat yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan.
Berikut beberapa panduan kekal amalan baik selepas Ramadan antaranya:
Cuba mencari pertolongan Allah untuk membimbing anda berada di jalan lurus dan tetap teguh di landasan kebenaran. Mengenai perkara ini elok diperhatikan ayat 8 Surah Ali-Imran, maksudnya: (Mereka berdoa dengan berkata): Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Tekun mengerjakan ibadat (wajib) dengan penuh tanggungjawab.
Rajin mengerjakan ibadat sunat dan menjadikannya kebiasaan walaupun sedikit. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Amalan terbaik kepada Allah ialah yang berterusan, walaupun ia sedikit.”
Baca al-Quran yang dipelajari ketika mengerjakan solat dan amalkan membacanya sekerap yang boleh.
Banyak berzikir (mengingati Allah) dan memohon keampunan daripada Allah. Amalan ini mungkin nampak kecil, tetapi jika selalu diamalkan, ia akan meningkatkan keimanan dan memberikan kekuatan kepada jiwa.
Berwaspada terhadap setiap perkara yang boleh memesongkan hati daripada jalan kebenaran.
Paling penting ialah taubat, iaitu menyesal atas kesalahan lalu kepada Allah dan bertekad tidak akan menyimpang daripada landasan kebenaran lagi. Allah suka apabila hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya.

Sheikh Abdullah Fahim...


Sheikh Abdullah Fahim: Ketua Dewan Ulamak PAS Pertama 
Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini.
Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.
Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab.
Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921.
Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.
Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan “al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya.
Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami).
Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed.
Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.
Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan.
Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan.
Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad.
Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga.
Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain.
Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.
Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim.
Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim.
Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir


Abu Bakar al-Baqir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kemalapan pengajian pondok di Padang Rengas diganti oleh kecemerlangan Gunung Semanggol dengan Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan Maahad Al-Ehya Al Shariff .

Isi kandungan

 [sorokkan]

[sunting]Kelahiran

Ustaz Abu Bakar al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di kampung Gunung SemanggolBagan SeraiPerak tidak jauh dari Padang Rengas.
Ustaz Abu Bakar al-Baqir atau dikenali juga Syeikh Abu Bakar al-Baqir berketurunan Jawa. Datuknya berasal dari KendalJawa Tengah.Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang 1850-an . Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di KlangSelangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, [Perak]], untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercocok tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.

[sunting]Pendidikan

Beliau belajar di Sekolah Melayu selama lima tahun. Di samping itu beliau juga dididik membaca al-Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya yang sesuai diterima oleh anak-anak sebayanya.
Setelah menamatkan Sekolah Melayu, beliau belajar di sebuah pondok di Gunung Semanggol, iaitu Madrasah ar-Rahmaniah. Pondok itu dinamakan demikian adalah sempena nama pengasasnya,Haji Abdul Rahman bin Mahmud, seorang alim yang pernah belajar di al-Azhar, Mesir dan Masjid al-Haram di Mekah. Syeikh Abu Bakar al-Baqir belajar di pondok itu selama enam tahun yakni pada tahun 1919-1924. Selepas itu beliau pindah ke Madrasah Dairatul-Maarif al-Wataniah di Kepala BatasSeberang Perai Utara. Di Kepala Batas, beliau diajar oleh guru yang berkebolehan termasuklah Tok Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Haji Abdullah Pak Him), seorang tokoh ulama yang terkenal di sebelah utara Semenanjung. Beliau belajar di situ selama enam tahun.
Ketika gurunya, Haji Abdullah bin Ibrahim berpindah mengajar ke Madrasah IdrisiahKuala Kangsar, Syeikh Abu Bakar juga berpindah ke sana, berada di sana selama tiga tahun (1931-1933), separuh masa pertama sebagai pelajar, dan pada separuh masa yang kedua sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan.

[sunting]Ma'ahad al-Ehya al-Syarif

Beliau kembali ke Gunung Semanggol atas panggilan bekas gurunya dan bakal mertuanya, Haji Abd. Rahman, untuk sama-sama berusaha menubuhkan sebuah sekolah Islam di Gunung Semanggolsebagai ganti pondok ar-Rahmaniah.
Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan, maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Maahad Al-Ehya Al Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.

[sunting]Keluarga

Dalam tahun 1935, beliau dinikahkan dengan Ustazah Fatimah Abd. Rahman. Beliau terus menyertai isterinya ini, dengan mendapat kurnia empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan, sampailah beliau menemui ajalnya pada 13 Julai 1974. Putera-puteri beliau itu ialah Sahar Mursyid Abu Bakar, Miskiah Fadilah Abu Bakar, Naqibah Nu'ma Abu Bakar, dan Aniqah Rusda Abu Bakar.

[sunting]Pembaharuan

Dari segi pembaharuan Islam beliau menunjukkan wajah yang mirip dengan Syeikh Juned Tola. Yang beliau bangunkan ialah pendidikan, politik, ekonomi, dan kerja kebajikan. Tentang fahaman bermazhab atau tidak bermazhab beliau tidak begitu mengambil perhatian. Sepertimana Syeikh Juned Tola , meskipun beliau menganut fahaman pembaharuan dalam bidang akidah dan syariah, namun beliau untuk gerakan "islah"nya tidak berkonfrontasi dengan pihak Syafiiyah. Beliau menekankan pembaharuan itu pada pendidikan.
Pembangunan pendidikan rasmi telah beliau penuhi dengan ditubuhkannya Ma'ahad al-Ihya al-Syarif. Dalam hal ini beliau mendapat kerjasama daripada kaum muslimin tempatan, khasnya daripadaHaji Abd. Rahman MahmudTuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abd. Manaf, Penghulu Kampung Gunung Semanggol. Selain itu, beliau juga mengajar di kelas pengajian yang diadakan di masjid dan surau di sekitar Gunung Semanggol.

[sunting]Perjuangan politik

Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka telah dibentuk suatu badan yang bernama Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA). Sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran MATA beliau telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar pendidikan yang bertaraf nasional.
Dalam suatu persidangan yang diadakan di Ma'ahad al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang pada 15 November 1947 telah dibentuk pula Lembaga Pendidikan Rakyat, atau singkatannya LEPIR, yang pengelolaannya diserahkan kepada Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi. Antara matlamat yang hendak diperjuangkan oleh LEPIR ialah menyamakan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat dalam Malaya, dan untuk mencapai ini sebuah Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Haji Zubir Ahmad, yang kemudiannya digantikan oleh Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi.
Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakob dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi(meninggal 25 September 1969).
Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.
Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti ini telah mempunyai cawangan di JohorPahangNegeri SembilanKelantanTerengganuSelangorMelakaPerlisKedah, dan Pulau Pinang.
Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Dato' Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.
Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-BaqirUstaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.
Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS).
Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma'ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Juga ia mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripadaMajlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar.
Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu.
Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh pengasuh yang sekarang ini. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari Indonesia sangat menolong dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Mohd Asri bin Haji Muda.
Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.
Tentang fahaman fikahnya menurut Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma'ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkinfidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran.

Petua Mengempiskan perut


Salam semua…
Bila dah raya aidil fitri ini, mesti ramai yang pulun makan habis – habiskan sampai tersandar kat dinding. Apa pun, saya nak berkongsi sedikit cara kempiskan perut buncitsupaya lebih flat sedikit. Sebenarnya, lemak bahagian perut paling sukar untuk dikikis dengan jayanya tetapi dengan usaha, semua itu tidak mustahil.
Niat dan usaha merupakan kombinasi yang penting supaya perut kelihatan flat. Perut yang gendut disebabkan oleh lemak yang menutupinya jadi di sini, langkah pertama semestinya kena menjaga pola makanan. Diet ini bukanlah paling bagus untuk kecilkan perut tetapi membantu perut supaya tidak lagi buncit.hehe! Cara mantap untuk kempiskan perut adalah dengan membakar lemak secara teratur.
Selain itu, cara yang paling sesuai untuk kempiskan perut adalah dengan olahraga, aerobik, berlari atas treadmill dan juga beberapa latihan kardio untuk mempercepatkan proses kempiskan perut. Tetapi bagaimana dengan sit up? Sit up sememangnya penting tapi sebenarnya fungsi utama sit up adalah untuk mengencangkan otot di bahagian perut.

Wednesday, July 13, 2011

Dulu aku juga begitu

Syukur , alhamdulillah kerana Allah masih ,membenarkan aku berada di atas muka buminya..kalau disingkap kisah silam terasa benar kejahilan aku tentang agama dan soal kehidupan. ...tapi aku tetap merasakan diriku hebat dan bijak berhujah dengan menggunakan akal fikiran yang dangkal ini...
     aku rasa cukup hebat apabila aku kononnya berjaya mematahkan hujah ustaz zulkifli abu dengan fakta dangkal dan mengikut logik sahaja..aku rasa aku dah cukup hebat ketika itu...