Friday, May 28, 2010

Sedutan Khutbah Jumaat


Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada tuhan kamu,, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak akan dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak tidak dapat pula melepaskan ibu atau bapanya dari dosa masing-masing sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdaya oleh kehidupan dunia dan janganlah kamu diperdaya oleh bisikan syaitan yang menyebabkan kamu melanggar larangan Allah.

Firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 65-66 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kalian telah mengetahui adanya orang-orang yang melanggar larangan pada hari sabtu, maka kami perintahkan 'jadilah kalian kera-kera yang sangat hina. Maka kami jadikan kejadian itu sebagai peringatan bagi orang-orang pada masa itu, dan yang akan datang. dan kami jadikan sebagai nasihat orang-orang yang bertaqwa."

Ibnu Abasberkata" Allah telah mewajibkan kepada Bani Israil sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas kamu iaitu hari Jumaat tetapi mereka menyalahinya ke hari Sabtu. Mereka mengagungkan dan mengabaikan apa yang diperintahkan kepada mereka. Maka Allah menguji mereka dengan mengharamkan mereka menangkap ikan serta memakan pada hari Sabtu. Sedangkan apabila tiba hari Sabtu ikan datang berduyun-duyun ke tepi pantai, tetapi apabila hari Sabtu berlalu tidak ada walaupun seekor ikan. Demikianlah keadaannya sehingga mereka ingin benar kepada ikan itu, sehingga terdapat orang yang menangkap ikan pada hari sabtu dan mengikatnya. Kemudian ikan ini dilepaskan semula ke dalam air untuk diambilnya semula pada hari Ahad. Itulah yang dilakukannya setiap hari Sabtu hinggakan perbuatannya itu diketahui oleh orang lain.

Kemudian mereka turut sama melakukan perkara tersebut secara bersembunyi-sembunyi dan rahsia, tetapi lama kelamaan perkara itu dilakukan secara terang-terang hinggakan itu dijual di pasar-pasar. Para ulama mereka sering memperingatkan supaya menghentikan segera perbuatan tersebut dan bertaqwalah kepada Allah serta janganlah mempermain-mainkan larangan Allah tersebut.

Namun mereka berkata"Untuk apa kamu melarang orang-orang yang akan dibinasakan oleh Allah. Jawab orang yang melarang" kami ingin mendapat maaf dari tuhan kerana itu kami melarang perbuatan mungkar. Juga mungkin ada antara mereka yang suka mendengar peringatan kami ini". Tiba-tiba pada suatu hari, orang-orang yang melanggar larang itu tidak hadir di biara-biara mereka. Segeralah orang-orang mencari mereka dan didapati mereka telah berubah menjadi kera, termasuklah suami, isteri dan anak-anak mereka.

Sidang hadirin sekalian,

Allah swt telah merakamkan kisah ini supaya menjadi peringatan kepada manusia pada zaman itu dan pada zaman seterusnya serta kepada orang yang bertaqwa pada zaman sekarang. Hari ini kita melihat seolah-olah peristiwa yang pernah dirakamkan dalam al Quran telah berulang kembali di hadapan mata kita. Jika kepada orang-orang yahudi, diharamkan menangkap ikan pada hari Sabtu, manakala kepada umat Muhammad saw diharamkan terlibat dalam perjudian sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, korban untuk berhala dan mengundi dengan anak panah adalah perbuatan keji, termasuklah amalan syaitan. Oleh itu jauhilah supaya kamu berbahagia"

Dahulunya perjudian ini dilakukan secara rahsia-rahsia dan tersembunyi seperti yang dilakukan oleh orang yahudi pada peringkat awal mereka menangkap ikan pada hari Sabtu secara sembunyi-sembunyi. Namun akhirnya mereka bukan setakat menangkap ikan pada hari Sabtu malahan mereka menjualnya di pasar-pasar secara terbuka seperti yang dilakukan oleh masyarakat kita pada hari ni yang pada mulanya perjudian dilakukan secara sembunyi-sembunyi tetapi kemudiannya telah diberikan lesen untuk beroperasi secara terbuka. Dan yang terbaru. satu lagi bentuk perjudian telah diberikan lesen kepada Berjaya Group untuk beroperasi iaitu judi bola sepak piala dunia.

Apabila para ulama menegur pemberian lesen judi ini, mereka menyatakan alasan kononnya mereka tidak mahu mereka berjudi dalam keadaan yang tidak boleh dikawal kerana kononnya walau apapun yang dibuat para kaki judi ini akan tetap berjudi juga. Oleh itu, pada anggapan mereka lebih baik diberikan lesen kepada perjudian tersebut...
Inilah yang pernah dikatakan oleh sebahagian yahudi yang tidak terlibat sama ada sebagai yahudi yang menangkap ikan ataupun yang melarangnya.

Akhirnya, orang-orang yang melanggar larangan itu telah diturunkan bala olae Allah Swt dengan ditukarkan rupa bentuk mereka dengan kera yang hina sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran seperti ayat yang dibacakan tadi.

Sidang jemaah sekalian,

Bekenaan kemungkaran yang berlaku apa sahaja kemungkaran termasuklah judi sekiranya dilakukan secara bersembunyi, tiada apa yang dapat dilakukan kerana tersembunyi.Tetapi apabila dilakukan secara terang-terangan, hendaklah kita mengikuti pesan nabi saw dalam sabdanya yang terkenal yang bermaksud:

" Barangsiapa yang melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah diubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah diubahnya dengan lisan, sekiranya tidak juga mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya. itulah selemah-lemah iman".

Marilah kita mencegah kemungkaran besar yang berlaku ini, sekurang-kurangnya dalam iman yang paling lemah iaitu dengan tidak bersama mereka lagi pada masa-masa akan datang.....









1 comment: