Pagi Seorang Mukmin, Petang Menjadi Kafir
8. Dari Zaid bin Kholid Al-Juhni r.a : Beliau telah berkata, Rasulullah saw telah bersolat subuh dengan kami di Hudaibiyyah di penghujung malam. Apabila selesai bersolat, baginda berpaling menghadap ke arah orang ramai (para sahabatnya) seraya bersabda, “Adakah kamu sekalian mengetahui apakah yang difirmankan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’
Rasulullah saw pun bersabda, “Allah berfirman, ‘Berpagi-pagi hamba-hamba-Ku beriman dengan-Ku. Maka adapun orang-orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan justeru dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya’, orang yang berkata sedemikian itu adalah orang yang beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang-bintang.
Dan adapun orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan disebabkan bintang yang condong ke arah barat ini dan itu’, maka orang yang berkata sedemikian adalah orang yang kufur dengan-Ku dan beriman dengan bintang (syirik-pent).” [017] (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam Syafi’e dalam musnadnya, Imam Al-Bukhari dan Muslim, Abi ‘Awanah dan Al-Baihaqi)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Mereka yang beriktikad bahawa hujan turun adalah kerana, ketika bintang itu condong ke barat, maka hujan akan turun ketika itu (menolak kekuasaan Allah SWT). Padahal Allah SWT yang menurunkan hujan (rujuk Surah An-Naba’ [78] : 14-16).
b. Tambahan Blog : Perlu berhati-hati ketika mengeluarkan perkataan atau percakapan seperti orang zaman ini berkata, ’Hujan turun kerana bulan Disember’, atau ‘manusia boleh membuat hujan melalui pembenihan awan’ dan lain-lain percakapan yang menidakkan kekuasaan Allah SWT. Semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi kita dari kekufuran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kadang-kadang kita juga pernah berkata begitu
ReplyDelete